“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna. Agar dapat ku lalui dengan sempurna” Alangkah ruginya kita jika tidak mengambil manfaat dengan tawaran hebat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t pada bulan Ramadhan.
“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,Agar dapat ku lalui dengan sempurna…
Mungkin ada yang pernah mendengar lagu Ramadhan nyanyian Man Bai dan Raihan suatu masa dahulu.
Walaupun lagu itu sudah bertahun lamanya tetapi setiap kali datangnya bulan Ramadhan, lagu tersebut pasti menjadi pilihan stesen radio mahupun televisyen untuk memutarkannya.
Dengan nada nyanyian yang cukup syahdu dan mendayu di samping menghayati lirik lagu yang ingin disampaikan, cukup membuatkan kita berasa kerdil di sisi Allah s.w.t atas segala amalan yang telah dilakukan selama ini.
Lebih-lebih lagi apabila tibanya bulan Ramadhan dan kita tidak merebut peluang yang ada di dalamnya. Alangkah ruginya kita jika tidak mengambil manfaat dengan tawaran hebat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t pada bulan tersebut.
Lalu, bagaimana caranya untuk kita melakukan persiapan bagi menuju bulan mulia tersebut?
Ramadhan adalah bulan bagi seluruh umat Islam di mana jua mereka berada untuk melaksanakan kewajipan ibadah puasa; yang pastinya memerlukan kekuatan dari sudut fizikal, rohani mahupun jasmani dalam melakukannya.
Berikut dikongsikan beberapa persiapan yang boleh kita lakukan bagi menghadapi bulan yang di dalamnya terkandung 1001 keistimewaan ini;
#1 – Melazimkan Diri Untuk Berpuasa
Seperti sedia maklum, bulan Ramadhan adalan bulan yang diwajibkan ke atas umat Islam untuk menjalankan ibadah puasa selama sebulan.
Oleh itu, sebaiknya kita melazimkan atau membiasakan diri untuk melatih diri berpuasa sunat pada bulan sebelumnya; seperti puasa Isnin dan Khamis.
#2 – Mencari Guru Agama
Bagi mereka yang baru ingin mendekatkan diri dengan agama, inilah masa yang terbaik untuk dimanfaatkan.
Carilah guru agama yang benar dari sudut kefahaman agamanya, akidah, ibadah, akhlak dan lain-lain perkara yang berkait agar kita dapat meneladani cara hidup Islami yang sebenarnya.
#3 – Mendekatkan Diri Dengan Masjid Atau Surau
Jika sebelum ini kita terlalu sibuk dengan pekerjaan duniawi sehingga kadang-kadang, jarang-jarang bahkan tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah Allah (masjid atau surau).
Maka sebaiknya sebelum melangkah ke bulan Ramadhan ini kita mengambil sedikit masa sama ada setiap kali solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib mahupun Isyak untuk berjemaah bersama masyarakat di masjid atau surau berdekatan tempat kerja atau tempat tinggal kita.
#4 – Mencari Persekitaran Atau Lingkungan Yang Baik
Persekitaran juga turut memainkan peranan yang cukup penting bagi membentuk diri setiap individu. Ia seakan perumpaan bagi hati, jika hati baik maka baiklah seluruh anggotanya.
Namun, jika berlaku sebaliknya, maka sebaliknyalah yang akan berlaku. Jika persekitaran yang didiami itu terdiri daripada mereka yang tidak mengendahkan suruhan agama, dibimbangi kita yang lemah imannya ini juga akan terikut sama dengan mereka.
#5 – Tidak Membazirkan Masa Dengan Aktiviti Yang Sia-sia
Jika sebelum ini kita sibuk dengan gadget, bermain game di siber cafe, melepak di tepi jalan atau warung kopi dari pagi hingga ke petang, sehinggakan ada yang mengabaikan ibadah solat fardu 5 waktu.
Maka menjelangnya Ramadhan ini cubalah untuk mengurangkan aktiviti sebegini dan ubahnya dengan aktiviti yang lebih bermanfaat seperti memperbanyakkan membaca al-Quran, mempelajari hukum tajwid, menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid, surau atau apa jua karnival yang menjayakannya.
Dan sebenarnya, masih banyak perkara yang boleh kita lakukan sebagai persiapan menghadapi ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini.
Justeru, bersamalah kita untuk menanamkan azam dan niat untuk memperbaiki diri, sama ada dari sudut akhlak, tingkah laku, ibadah, akidah, dan segala aspek kehidupan.
Mudah-mudahan, Ramadhan tahun ini menjadi kenangan indah dan saham akhirat buat kita dalam melaksanakan amal kepada Allah s.w.t, seterusnya beroleh keredhaan di sisi-Nya. InsyaAllah. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.